Latar Belakang dan Rakaman Tanpa Rela

Selepas kejayaan "Sampai Bila", pihak Sony Music tidak mahu berlengah untuk menerbitkan single susulan. Namun sepanjang tahun 2019 Misha sangat sibuk dengan siri konsert dan persembahan sehingga perancangan single terbaru dijadualkan berselang dua tahun selepas rilis "Sampai Bila". Proses mencari material untuk single baru bermula seawal 2019 dengan beberapa komposer disebut-sebut bakat bekerjasama dengan Misha antaranya Aubrey Suwito, Aepul (Drama Band), Hael Husaini dan Aina Abdul.

Setelah beberapa hari menjayakan konsert solonya di Dewan Filharmonik Petronas pada 5 Ogos 2019, Misha mendapat idea untuk menulis lagunya sendiri sebagai penghargaan kepada sokongan peminat. Misha merasakan ia merupakan satu peningkatan dalam kerja seninya untuk menerbitkan lagu ciptaan sendiri. Untuk rekod, ketika dibawah kelolaan Adnan Abu Hassan dan Ajai di awal pembabitan dalam industri muzik dahulu, Misha telah terlibat dalam pembikinan tiga buah lagunya sebagai penulis lirik iaitu lagu "Lilitan Asmara", "Kau Yang Amat Ku Sayang" (kedua-duanya daripada album debut) dan saduran lagu Korea diberi judul "Tiada Aku Mengerti" untuk album keduanya. Ini kali pertama Misha mencipta melodi lagunya sendiri.

Misha menulis lagu ini bersama komposer Lee Sze Wan yang merupakan pengarah muziknya untuk Konsert Soul Sisters 2019 dimana Sze Wan membantu memperkemaskan melodi manakala untuk lirik Misha menulis bersama dua penulis lirik iaitu Roslen Fadzil (gandingan ketiga bersama Misha selepas "Riwayat Cinta"(2004) dan "Sampai Di Sini (2008)" serta Zul Husni. Misha mengakui tidak mahu 'syok sendiri' dalam menerbitkan lagu sendiri maka dia mendapatkan bantuan daripada teman-teman. .Lagu ini dijadualkan untuk rakaman pada Mac 2020 namun gara-gara pandemik Covid-19, proses rakamannya tertangguh selama 4 bulan. Sepanjang tempoh itu Misha mempersiapkan diri dengan latihan vokal termasuk mendapatkan penasihat vokal iaitu Syafinaz Selamat sebelum betul-betul sedia masuk ke dapur rakaman[1]. Proses rakaman berlangsung pada Julai 2020 dan Misha sendiri sempat berkongsi video rakaman instrument oleh pemuzik ternama seperti Uda Wahid (bermain akordian) dan Jamie Wilson (gitar). Perkongsian ini menarik perhatian warga maya yang ternanti-nanti buah tangan terbaru Misha.